Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Saiful Azlan Sharif (dua dari kiri) meninjau aktiviti pendidikan pesakit dan saringan sempena Program Saringan Kesihatan Peparu (TIBI) dan Kusta di Pos Lemoi, Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS – Lebih 500 Orang Asli dari suku kaum Semai menyertai Program Saringan Kesihatan Peparu (TIBI) dan Kusta di Pos Lemoi, Cameron Highlands, semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, program tersebut bertujuan untuk mengesan golongan pinggiran di kawasan pedalaman untuk meningkatkan ketercapaian perkhidmatan kesihatan awam kepada komuniti setempat untuk menjamin kesihatan mereka.

“Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuk saringan Tibi menggunakan teknologi mudah-alih Molekular TB – LAMP dan teknologi mudah-alih, Ultraportable Xray dengan AI, alatan Interferon Gamma Release Assay (IGRA), sejenis ujian molekular yang mengesan tindakbalas immune badan terhadap TB-specific antigens melalui interferon-gamma (IFN-γ) yang dihasilkan oleh T-lymphocytes.

”Selain itu saringan gejala kusta dan ujian pengesahan Slit Skin Smear dan skin biopsy juga disediakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JKNP, hari ini.

Jelasnya, pendidikan kesihatan dan jalinan hubungan bersama penduduk dijalankan untuk meningkatkan tahap penerimaan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada golongan Orang Asli pedalaman.

Aktiviti survelen dan pendidikan kesihatan berterusan akan dijalankan oleh PKD Cameron Highlands untuk memastikan kesinambungan pengurusan kesihatan peparu dan kusta di lokaliti tersebut.

Justeru program tersebut diharapkan dapat meningkatkan kualiti kesihatan dan tahap literasi kesihatan komuniti Orang Asli pedalaman Pos Lemoi terhadap risiko jangkitan penyakit tibi dan kusta.

”Pelaksanaan program di kawasan pedalaman seperti Pos Lemoi amat mencabar dari segi logistik termasuk penggunaan kenderaan pacuan empat roda, jalinan hubungan kepada komuniti setempat, serta keperluan ujian pengesahan pantas di setempat.

”Petugas melalui pengalaman dua jam pemanduan dalam hutan untuk sampai ke kampung yang terletak kira-kira 40 kilometer dengan dari Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands, Tanah Rata,” tambahnya.

Pos Lemoi merupakan satu kawasan perkampungan Orang Asli pedalaman dengan liputan penduduk seramai 582 orang yang merangkumi buah kampung utama iaitu Kampung Lemoi 290 penduduk; Kampung Terlimau 224 penduduk; dan Kampung Kanis 68 penduduk.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Saiful Azlan Sharif, dan  Ketua Penolong Pengarah Unit Kawalan Tibi / Kusta, JKNP, Dr Sahrol Azmi Termizi.

Dr. Saiful Azlan turut mengadakan lawatan kerja ke beberapa fasiliti kesihatan di daerah Cameron Highlands seusai program saringan kesihatan di Pos Lemoi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast