KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletakkan jawatan serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
Tuntutan itu lanjutan daripada isu hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan baru-baru ini yang telah mencemarkan maruah negara dan menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Mas Ermieyati menegaskan, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana acara rasmi kerajaan yang menggunakan nama dan lambang rasmi negara, apatah lagi di bawah pentadbiran yang mengangkat konsep Kerajaan Madani.
Katanya, tindakan itu jelas menunjukkan kelemahan dan kecuaian kepimpinan beliau di peringkat kementerian serta kegagalan memahami sensitiviti rakyat berbilang agama di Malaysia.
“Kita bukan bercakap tentang isu kecil. Ini bukan soal protokol, tetapi soal maruah negara. Malaysia bukan sekadar negara majoriti Islam, tetapi Islam adalah agama rasmi Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Seorang menteri yang memimpin kementerian sebegitu penting sepatutnya sedar tentang hal ini. Mohon maaf secara terbuka dan letak jawatan adalah langkah paling bermaruah,” katanya dalam sidang media khas di Parlimen hari ini.
Menurutnya, rakyat tidak boleh menerima alasan majlis tersebut dianjurkan oleh pihak luar atau persatuan industri pelancongan kerana ia tetap berlangsung atas nama Tourism Malaysia dan dihadiri menteri sendiri.
“Bagaimana logo rasmi kerajaan boleh digunakan serta mengapa majlis itu menampilkan hidangan arak secara terbuka sekiranya ia bukan program rasmi kementerian?.
“Malaysia seharusnya mempromosikan produk pelancongan yang berasaskan nilai Islam, halal dan mesra keluarga, bukan program hiburan yang bercanggah dengan budaya tempatan.
“Ini soal prinsip dan keperibadian negara. Kalau benar kita mahu menjulang konsep Madani yang berteraskan adab dan moral, buktikan dengan tindakan, bukan sekadar slogan.
“Jangan cemarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan aktiviti yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya,” tambahnya.
Dalam masa sama, Mas Ermieyati turut mempersoalkan aspek ketelusan penganjuran majlis tersebut termasuk sumber dana dan jumlah perbelanjaan sebenar yang dilaporkan mencecah puluhan ribu ringgit.
Ia kerana, walaupun tiga persatuan industri pelancongan mendakwa menanggung kos majlis berkenaan, penjelasan itu menimbulkan keraguan kerana acara tersebut jelas menggunakan nama rasmi kerajaan dan dihadiri oleh pegawai serta menteri.
“Kita mahu tahu siapa yang bayar. Kalau benar ia dibiayai oleh pihak industri, mengapa logo kerajaan digunakan? Kalau ada dana kerajaan, itu sudah tentu satu penyalahgunaan kuasa.
“Oleh itu, saya menggesa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Jabatan Audit Negara menyiasat perkara ini dengan telus bagi memastikan tiada unsur salah guna atau pembaziran,” katanya.
Ahli Parlimen itu berkata, insiden ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada seluruh jentera kerajaan supaya tidak memandang ringan terhadap soal protokol dan sensitiviti masyarakat, terutama dalam konteks majlis rasmi yang melibatkan kementerian.
Lantaran itu, tegas beliau, permohonan maaf secara terbuka daripada menteri berkenaan adalah langkah minimum yang perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kebertanggungjawaban kepimpinan kerajaan.
“Sebagai menteri, beliau perlu menunjukkan contoh. Mohon maaf kepada rakyat bukan tanda lemah, tetapi bukti kematangan politik dan kesediaan menerima tanggungjawab.
“Kalau Kerajaan Madani benar-benar mahu memartabatkan nilai adab dan akhlak, inilah masa untuk membuktikannya,” ujarnya lagi.
Mas Ermieyati turut meminta perdana menteri menilai semula kedudukan King Sing dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan imej kerajaan terus tercemar.
Jelasnya, isu itu bukan sekadar mengenai satu majlis, tetapi mencerminkan tahap kepekaan moral dan pentadbiran sesebuah kementerian yang membawa nama Malaysia di mata dunia.
“Kerajaan tidak boleh terus berdiam diri. Tindakan mesti diambil, bukan hanya untuk menjaga reputasi, tetapi demi maruah negara. Menteri perlu bertanggungjawab, dan kerajaan perlu memastikan perkara sebegini tidak berulang,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















