GEORGE TOWN – Masalah pesakit terpaksa menunggu sehingga empat atau lima jam di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak boleh hanya dijelaskan menerusi alasan pesakit dirawat mengikut tahap keseriusan keadaan.
Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, keadaan itu menunjukkan wujudnya tekanan terhadap sistem kesihatan awam membabitkan sumber, tenaga kerja serta mekanisme saringan dan pengagihan pesakit.
Menurutnya, sistem triage sememangnya perlu bagi memastikan pesakit kritikal diberi keutamaan, namun ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya jawapan terhadap tempoh menunggu yang panjang.
“Pesakit di zon merah mesti diberi keutamaan untuk diselamatkan dan perkara ini tidak boleh dipertikaikan. Tetapi jika pesakit di zon kuning dan hijau terpaksa menunggu sehingga empat atau lima jam, malah tidak tahu berapa lama lagi perlu menunggu, maka jelas masalah itu bukan lagi semata-mata berkaitan sistem triage.
“Ia menunjukkan wujudnya kesesakan dalam sumber perubatan dan mekanisme pengagihan pesakit.
“Justeru KKM dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mengkaji masalah kesesakan serta tempoh menunggu di Jabatan Kecemasan HPP dan mengumumkan langkah penambahbaikan konkrit berserta jadual pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Tong Keong, kerajaan perlu menambah klinik kerajaan di kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta melanjutkan waktu operasinya, termasuk pada waktu malam dan hujung minggu.
Katanya, langkah itu membolehkan pesakit yang mengalami demam, kecederaan ringan dan masalah kesihatan tidak kritikal mendapatkan rawatan lebih dekat dengan kediaman, sekali gus mengurangkan tumpuan pesakit di jabatan kecemasan hospital kerajaan.
Beliau turut mencadangkan Kementerian Kesihatan mempertimbangkan penambahan klinik kerajaan seumpama Klinik 1Malaysia yang pernah diwujudkan sebelum ini di setiap negeri dan daerah.
“Sistem masa nyata perlu dibangunkan secara berperingkat bagi membolehkan pesakit mengetahui jumlah pesakit yang sedang menunggu, perkembangan rawatan dan anggaran tempoh menunggu.
“Petugas kesihatan juga perlu terus menilai semula keadaan pesakit yang masih menunggu bagi memastikan perubahan tahap kesihatan mereka tidak terlepas pandang.
“Rakyat tidak memerlukan permohonan maaf berulang kali setiap kali masalah ini berlaku, sebaliknya mereka mahukan tindakan dan sistem yang benar-benar mampu mengurangkan tempoh menunggu,” katanya. – MalaysiaGazette
















