Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sedia untuk bertanding lebih 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, biarpun belum muktamad tetapi parti itu akan bertanding lebih daripada PRN sebelum ini.

“Kita bersedia dengan calon-calon yang akan diketengahkan dan tahu rakyat boleh menerima mereka.

“Sebanyak 80 peratus calon kita adalah muka baharu dan selebihnya kita akan kekal dengan pemimpin sedia ada.

“Seperti Semenanjung, Sabah juga akan mengetengahkan wajah baharu dan calon muda pada pilihan raya kali ini kerana itu seperti trend semasa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk ‘PRN Sabah Ke-17: Mana Mungkin Pengundi Tertipu Lagi.’

Menurutnya, senarai penuh calon akan ditentukan dalam masa terdekat.

“Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun sudah tahu perkara ini, saya sudah bertemu beliau sebelum sesi kita bermula (semalam).

“Beliau bersetuju dan berharap PRN kali ini BN akan memperoleh kemenangan dan paling penting tidak berlaku lagi isu ‘beli pemimpin’ seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata, ada perjanjian yang dilakukan di antara parti dan juga calon untuk mengelakkan perkara sama berulang.

“InsyaAllah calon-calon kami ini akan terus kekal setia dengan parti kerana mereka bersama-sama UMNO pada saat parti ini dilanda kekalahan pada 2018.

“Sudah bertahun-tahun kita lihat prestasi mereka, jadi dengan prinsip itu kesetiaan mereka itu, saya harap berkekalan dan lebih penting calon ini diterima di kawasan mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perpecahan dalam UMNO yang dikatakan berlaku antara beliau dan Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Bung Moktar menafikan perkara itu.

“Tiada perpecahan dalam UMNO Sabah dan kami kekal dengan satu nakhoda.

“Isu perpecahan dalaman parti hanya dimainkan pembangkang untuk menunjukkan kononnya UMNO ada masalah.

“Apa lagi parti lawan nak cakap, mereka sudah tidak ada isu. Tidak ada masalah pun, cuma perbezaan pandangan itu saya anggap ia perkara biasa dalam mana-mana parti.

“UMNO kekal ada satu nakhoda iaitu saya sebagai Pengerusi dan dibantu Datuk Rahman Dahlan sebagai Timbalan (Pengerusi) saya,” katanya.

Temubual Skop MG bersama Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 OKTOBER 2025.

Bung turut menjawab mengenai isu dalaman UMNO yang dikatakan menjadi punca pengundi beralih arah kepada parti tempatan seperti GRS dan juga Warisan.

“Sebetulnya UMNO masih dalam landasan yang sama. Sebagai parti yang sudah lama, rakyat sudah tahu bagaimana cara kerja kami.

“Kerana itu, saya kata, parti lawan tidak ada isu lain kerana prestasi UMNO sangat baik dan kami berjaya menambah keahlian daripada 300,000 kepada lebih 600,000 sekarang,” katanya.

Jelas Bung Moktar, tidak mungkin kapal yang dibina sekarang mempunyai lebih dua ketua.

“Kalaulah apa yang orang percaya pada persepsi sebegitu, sudah pasti kita tak dapat bawa hala tuju yang sama.

“Saya sangat yakin dengan Datuk Rahman memahami dengan perkara ini dan hala tuju kami tetap sama,” katanya.

Tambah Bung Moktar, isu ini juga sudah sampai ke pengetahuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami sudah berjumpa beberapa kali dan sememangnya tidak ada isu besar antara kami atau saya boleh katakan ia sudah mati.

“Cuma parti lawan sahaja mahu tengok UMNO ini jatuh dengan propaganda sebegini untuk membuatkan pengundi celaru dengan kebangkitan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast