Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul menegaskan usaha melindungi hak dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia mesti menjadi keutamaan nasional yang melangkaui batas politik dan kepartian.

Bahkan, beliau menekankan tanggungjawab melindungi kanak-kanak bukan sekadar amanah undang-undang, tetapi janji moral yang mencerminkan martabat negara.

“Hak kanak-kanak kepada keselamatan, pendidikan, pemakanan dan perlindungan tidak mengenal garis pemisah politik. Sama ada kerajaan atau pembangkang, tanggungjawab kita adalah satu memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran selamat dan menyokong perkembangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Parlimen mengenai Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) di Bangunan Parlimen hari ini.

Johari berkata, Malaysia kini memasuki tiga dekad pelaksanaan CRC sejak ratifikasi pada 1995 dengan pencapaian signifikan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.

Namun, katanya, perjuangan itu belum selesai dan perlu diteruskan dengan semangat baharu menjelang sesi dialog Malaysia bersama Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2026.

“Konvensyen ini bukan hanya dokumen dari 1995. Ia adalah komitmen hidup yang menuntut kita menilai semula kemajuan dan jurang agar tiada kanak-kanak tercicir dalam perjalanan kita menuju negara berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul berucap pada Sesi Taklimat Berkenaan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Kepada Ahli-Ahli Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 8 OKTOBER 2025.

Beliau menegaskan, Parlimen memainkan peranan penting dalam memastikan dasar dan bajet negara berpihak kepada kesejahteraan generasi muda.

Katanya, setiap undang-undang dan keputusan yang diluluskan di Dewan Rakyat mesti mengambil kira kesan langsung terhadap kehidupan kanak-kanak.

Sebagai Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), Johari turut menyeru semua parlimen di rantau ini supaya memperkukuh penyertaan golongan muda sebagai rakan kongsi sebenar dalam pembangunan dan perubahan.

Malaysia menjadi antara negara yang aktif memperjuangkan penyertaan wanita dan belia dalam tadbir urus, ekonomi dan pembangunan serantau.

“Melalui inisiatif seperti Sekolah Parlimen, Parlimen Belia dan program jangkauan komuniti, kita membawa Parlimen lebih dekat kepada rakyat. Kita mahu golongan muda belajar, bertanya dan memimpin kerana masa depan Parlimen adalah masa depan mereka juga,” jelas beliau.

Tambah beliau, sesi taklimat CRC kali ini lebih bermakna kerana turut melibatkan suara kanak-kanak dan belia sendiri, menggambarkan pendekatan Parlimen yang semakin inklusif dan responsif terhadap pandangan generasi muda.

“Polisi terbaik adalah yang dibentuk berdasarkan pengalaman mereka yang melaluinya. Biarlah sesi ini menjadi permulaan kepada kerjasama berterusan antara Parlimen, kerajaan dan kanak-kanak sendiri.

“Ukuran sebenar keagungan sesebuah negara ialah bagaimana ia melayan anak-anaknya. Parlimen ini mesti menjadi penanda aras dengan meletakkan hak kanak-kanak di pusat segala tindakan kita berpaksikan perpaduan, keberanian dan keyakinan,” tegas beliau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast