KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan kerajaan menimbang menganugerahkan pingat kebangsaan daripada Yang di-Pertuan Agong kepada semua sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengiktirafan rasmi oleh negara ini penting atas beberapa faktor antaranya kerana mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
Ujar beliau, sukarelawan GSF berkenaan membawa wajah Malaysia sebagai bangsa yang berani membela kemanusiaan, bukan sekadar beretorik di pentas diplomatik.

Selain itu, jelasnya, pengiktirafan tersebut juga bagi menunjukkan solidariti nasional dengan rakyat Palestin yang mana misi berkenaan membuktikan Malaysia bukan sekadar bersuara, tetapi menghargai rakyatnya yang berjuang untuk keadilan.
Di samping itu, ujar beliau, anugerah tersebut juga bagi mendidik generasi muda tentang patriotisme global bahawa cinta kepada tanah air juga bererti membela kemanusiaan sejagat.
“Walaupun para sukarelawan itu tidak pernah mencari nama atau ganjaran, namun penghargaan negara amat wajar diberikan atas keberanian dan pengorbanan mereka menempuh risiko nyawa demi membela nasib rakyat Palestin di Gaza.
“Mereka juga menyertai misi kemanusiaan itu tanpa senjata, tanpa kepentingan diri dan tanpa jaminan keselamatan berdepan tentera penjajah Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa.
“Keberanian mereka ialah keberanian moral, lahir dari hati nurani yang menolak kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malam tadi, seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza selamat tiba di tanah air selepas dibebaskan rejim Israel.
Tambah Mahfuz, anugerah kepada para sukarelawan GSF itu bukan sekadar simbol, tetapi merupakan pesanan moral negara kepada dunia bahawa Malaysia menghargai pengorbanan demi kemanusiaan, dan sentiasa berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin.
Ujarnya, rakyat yakin Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan akan melihat pengiktirafan itu sebagai tanda kasih dan penghormatan negara kepada ana- anak Malaysia yang telah mengangkat martabat bangsa di mata dunia. – MalaysiaGazette
















