Datuk Jafry Ariffin

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah kekal kukuh di sebalik keputusan Pengerusi Veteran UMNO Sabah, Datuk Sairin Karno hari ini yang mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan).

Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perjuangan parti itu tidak pernah bergantung kepada individu semata-mata, tetapi bertunjangkan semangat kolektif, disiplin perjuangan dan kesetiaan kepada parti serta rakyat.

Menurut beliau, ramai tokoh datang dan pergi, namun asas perjuangan UMNO iaitu membela rakyat, mempertahankan agama, bangsa dan negeri Sabah tetap teguh dan tidak berubah.

“Sebagai sebuah parti yang berpegang kepada prinsip perjuangan dan kekuatan institusi, UMNO Sabah menghormati keputusan peribadi beliau (Sairin).

“Sebagai langkah memperkukuh organisasi, UMNO Sabah dengan ini mengumumkan pelantikan Datuk Awadnir Matanggal sebagai Pengerusi Veteran UMNO Sabah yang baharu.

“Beliau merupakan tokoh berpengalaman dan dihormati dalam parti, dan diyakini mampu meneruskan kesinambungan perjuangan serta memperkukuh peranan sayap veteran di seluruh negeri,” katanya.

Media hari ini melaporkan, Sairin menyertai Warisan dengan penyerahan borang keahlian kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dibuat dalam satu majlis yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Sairin, keputusan tersebut dibuat selepas melihat perjuangan dan hala tuju Warisan yang diyakini mampu membawa perubahan lebih baik untuk rakyat Sabah.

Sairin sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan dan pernah memegang jawatan dalam kerajaan negeri Sabah di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, tambah Jafry, perjuangan demi Sabah tidak perlu menukar arah, sebaliknya perlu kekal berpaksikan keikhlasan, kesetiaan dan khidmat berterusan kepada rakyat di semua peringkat.

Katanya, UMNO Sabah akan terus melangkah ke hadapan dengan kepimpinan yang komited, ahli yang setia, dan rakyat yang percaya kepada kejujuran perjuangan parti itu.

“UMNO Sabah kekal teguh, perjuangan kita tidak berakhir, malah terus disegarkan demi rakyat dan negeri tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast