TEL AVIV – Amerika Syarikat (AS) akan menghantar pasukan tentera ke Timur Tengah untuk menyelia gencatan senjata Gaza antara Israel dan Hamas selepas tercapainya perjanjian pembebasan tebusan yang diusahakan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Ketua Komando Pusat Tentera AS, Laksamana Brad Cooper berkata, pada peringkat awal AS akan menghantar 200 anggota di lapangan.
Katanya, peranan pasukan tersebut adalah untuk menyelia, memerhati, dan memastikan tiada pelanggaran.
Menurut seorang lagi pegawai tentera AS, pegawai tentera Mesir, Qatar, Turki dan kemungkinan Emiriah Arab Bersatu akan turut serta dalam pasukan itu.
“Ideanya ialah untuk menjadikan pasukan tersebut sebagai kerjasama bersama dan Israel tentunya akan sentiasa berhubung dengan mereka.
“Keberadaan Laksamana Cooper dalam bilik rundingan [bersama perunding di Mesir] memberi keyakinan dan jaminan keselamatan kepada negara-negara Arab.
“Oleh itu, mesej itu disampaikan kepada Hamas bahawa kami atau lebih tepatnya Presiden Trump mengambil pendirian yang sangat tegas dalam memberi jaminan dan komitmennya di sini,” kata pegawai tersebut.
Pegawai kedua pula berkata anggota AS itu bertujuan “untuk membantu menubuhkan pusat kawalan bersama dan kemudian menyelaraskan semua pasukan keselamatan lain yang akan masuk ke situ supaya tidak berlaku pertindihan dengan IDF (Pasukan Pertahanan Israel).”
Menurut salah seorang pegawai, tentera yang dihantar mempunyai kepakaran dalam bidang pengangkutan, perancangan, keselamatan, logistik dan kejuruteraan. Beliau menambah bahawa anggota tersebut telah mula tiba dan akan terus bergerak ke rantau itu sepanjang hujung minggu untuk memulakan perancangan dan usaha menubuhkan pusat kawalan. -AGENSI
















