Gambar Hiasa.n

KUALA LUMPUR – Golongan wanita terus diberi pengiktirafan kerana peranan mereka yang merupakan penggerak ekonomi dan tulang belakang keluarga misali.

Kerajaan dalam konteks Belanjawan 2026 memperkukuh komitmen terhadap agenda wanita melalui pelbagai inisiatif, merangkumi pembiayaan keusahawanan, pelepasan cukai, serta bantuan kebajikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi membantu wanita mencapai keseimbangan antara kerjaya dan keluarga, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai pendapatan individu RM3,000 bagi yuran taman asuhan atau didikan kanak-kanak diperluas kepada pusat jagaan harian dan pusat transit berdaftar bagi anak berumur hingga 12 tahun, berkuat kuasa tahun taksiran 2026.

“Dari sekecil-kecil tangan ibu yang mengasuh anak hingga mereka yang memecah siling kaca, pemerkasaan wanita tidak sesekali dilihat sebagai ihsan, tetapi keadilan yang wajib ditunaikan.

“Penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat menunjukkan kemajuan membanggakan. Setakat 1 Oktober, 45 peratus syarikat senaraian awam memenuhi 30 peratus ahli lembaga pengarah wanita

“Namun, masih terdapat 8 syarikat tiada ahli lembaga wanita. Suruhanjaya Sekuriti akan meningkatkan usaha penyertaan wanita dalam kepimpinan urus korporat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga akan membela nasib 5,000 ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan guaman bagi penyelesaian kes-kes mahkamah seperti perceraian dan hak penjagaan anak.

Selain itu, melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), kerajaan memperuntukkan RM230 juta bagi menambah pembiayaan kepada usahawan wanita, menjadikan jumlah keseluruhan dana AIM kini mencecah RM2.9 bilion.

“Langkah itu memberi manfaat kepada lebih 300,000 sahabat usahawan wanita, dengan kadar bayaran balik cemerlang 99.97 peratus.

“Dalam masa sama, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, MARA dan SME Bank turut menyediakan pembiayaan berjumlah RM270 juta bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast