ALOR GAJAH – Cubaan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) serta dadah keluar dari perairan negara ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di perairan Tanjung Bidara, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, dalam kejadian jam 4.10 pagi itu, bot gentian kaca dinaiki kumpulan itu karam selepas melanggar bot ronda Maritim.
Menurutnya, kejadian kira-kira jam 4 pagi itu diperoleh hasil maklumat risikan yang mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot dari Pulau Rupat, Indonesia, dipercayai menuju ke perairan Malaysia.

“Pasukan Op Murni terdiri daripada tujuh anggota Maritim kemudian bergegas ke lokasi sebelum berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 2.3 batu nautika barat daya Tanjung Bidara.
“Apabila diarah berhenti, bot berkenaan bertindak agresif dan melanggar bot ronda Maritim Malaysia hingga menyebabkan bot mereka hilang kawalan sebelum karam,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurutnya, dua daripada tiga suspek bertindak nekad terjun ke laut namun seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun berjaya ditahan.
“Hasil siasatan awal mendapati, bot tersebut disyaki dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Balak bagi mengambil PATI dan dadah untuk diseludup keluar dari Malaysia.
“Operasi CARILAMAT turut diaktifkan bagi mengesan dua lagi suspek yang masih hilang selepas terjun ke laut ketika kejadian,” katanya
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran. – MalaysiaGazette
















