Sazalee.

BALIK PULAU – Polis mengesahkan lelaki yang didakwa ditahan dan dikurung oleh sindiket pemerdagangan manusia di Thailand atau Kemboja tidak mempunyai rekod perjalanan ke luar negara sejak 2019.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan susulan dijalankan selepas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Malaysia International Humanitarian Organization (MHO) mengadakan sidang media dakwa lelaki tersebut adalah mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

“Berdasarkan semakan terkini Jabatan Imigresen, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod perjalanan ke luar negara.

“Kali terakhir lelaki itu berkunjung ke China pada 13 Oktober 2019 dan kembali ke Malaysia lapan hari kemudian (21 Oktober),” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Tambah Sazalee, pihaknya juga menerima laporan polis daripada ibu mangsa pada Selasa lalu, di Balai Polis Queensbay di sini.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut mengikut Seksyen 347 dan 384 Kanun Keseksaan bagi memastikan kebenaran kes ini dapat dikenal pasti.

“Dalam masa sama, kita menyeru kepada semua NGO dan wakil masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan media tanpa merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Kerjasama semua pihak dialukan bagi mengekalkan suasana yang kondusif dan selamat, selaras dengan slogan pasukan, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa pihaknya menerima maklumat bahawa seorang lelaki dari Pulau Pinang dipercayai telah diculik oleh sindiket sejak pertengahan bulan lalu.

Menurutnya, sindiket terbabit turut mengugut keluarga mangsa dengan ancaman untuk mencederakan mangsa sekiranya wang tebusan tidak dibayar seperti diminta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast