KUANTAN – Golongan nelayan kecil di daerah ini terkilan kerana mendakwa tiada pembaharuan insentif dan fokus yang diumumkan buat golongan itu dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam.
Ketua Komuniti Nelayan Balok, Kamarul Shah Mohamad, 53 berkata, jumlah insentif dan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) tidak berubah sejak beberapa tahun lalu, berbeza dengan sektor lain yang lebih mendapat perhatian kerajaan.
“Peruntukan banyak kepada penternak dan pertanian sahaja. Mungkin sumber atau peruntukan kepada sektor perikanan tu menerusi sumber kementerian lain tak tahu lah.
“Sebelum ini kita ada cadang penambahbaikan dalam peruntukan seperti tambahan subsidi minyak dan elaun sara hidup. Kita terkesan sebab tiada sebarang peningkatan daripada kementerian,” katanya ketika ditemui di Jeti Balok, di sini hari ini.

Menurut Kamarul, pemberian ESHN sehingga RM300 sudah tidak relevan memandangkan kos sara hidup ketika ini semakin meningkat.
Begitu juga dengan pemberian diesel bersubsidi RM1.65 seliter yang tidak ditambahbaik sejak beberapa tahun lepas.
“Mungkin kerajaan terlepas pandang peruntukan untuk nelayan atau mungkin ada peruntukan lain yang perdana menteri akan beri pada waktu lain.
“Kita cuma berharap agar sektor perikanan, untuk nelayan diberi perhatianlah. Dari segi keperluan asas nelayan. Sebab kos sara hidup semakin meningkat zaman sekarang,” katanya.
Ambali Abdul Manaf, 65 yang merupakan nelayan laut juga meluahkan perasaan kecewa dengan pengumuman Belanjawan 2026 itu.
Beliau turut menyauarakan kebimbangan kerana tiada bantuan tambahan diumumkan buat para nelayan lebih-lebih lagi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.
“Bila monsun nanti, kami tak boleh turun ke laut. Sepatutnya ada bantuan tambahan untuk tempoh itu. Tapi dalam bajet kali ini tak disebut langsung. Susahlah terutama nelayan yang memang bergantung sepenuhnya dengan hasil laut untuk menyara keluarga,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Adnan Husin, 60, pula kecewa dengan Belanjawan 2026 kerana dia sangat mengharapkan bantuan tambahan ekoran kenaikan harga semua peralatan yang digunakan para nelayan.
Disebabkan itu, katanya, kerajaan perlu kaji semula pemberian insentif tambahan atau bantuan khusus buat nelayan agar golongan itu dapat turut merasa manfaat Belanjawan tahun ini.
“Peralatan memancing, tong minyak, bateri, barang-barang enjin, pukat semua naik harga. Kalau pun kerajaan tak boleh tambah elaun atau insentif, beri subsidi untuk beli peralatan pun cukuplah.
“Elaun RM300 tu sejak zaman perdana menteri sebelum ni pun sama sahaja. Macam tiada perubahan langsung,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan peruntukkan elaun sara hidup nelayan sehingga RM300 sebulan dan insentif hasil tangkapan diberikan dengan peruntukan RM160 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tetap mengekalkan diesel bersubsidi RM1.65 seliter khusus untuk nelayan.
Selain itu, sebanyak RM20 juta disediakan supaya nelayan menaik taraf vesel bagi mengurangkan kebergantungan tekong dan kru asing dan menggantikan pukat tunda Zon B dan pukat kenka dua bot bagi mengurangkan vesel tidak lestari. – MalaysiaGazette
















