KUALA LUMPUR – Proses penggantian lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang rosak dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun depan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurutnya, proses biasa bagi penukaran lif akan mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan selepas selesai proses tender.
“Kita jangka kebiasaannya untuk menukar lif akan makan masa sekitar enam ke sembilan bulan setelah proses tender dan segalanya selesai.
“Jadi, kita harapkan menjelang tahun depan, mana-mana lif yang rosak akan diganti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Bantuan Deepavali Lembah Pantai dan Sambutan Hari Sukan Negara di sini, hari ini,
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut memberikan contoh lif rosak di PPR Kampung Limau yang sering menerima aduan daripada penduduk setempat.
“Saya selalu terima aduan dari PPR Kampung Limau. Kita percaya dalam masa yang tak terlalu lama, pihak DBKL akan mulakan proses tender untuk tujuan itu.
“Tapi, memandangkan perkara ini disebut dalam bajet, maka kita perlu luluskan dulu bajet tersebut,” katanya lagi.
Tambah beliau, selepas Belanjawan 2025 dibentangkan oleh Perdana Menteri, proses penggantian dijangka dapat dipercepatkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Perdana Menteri telah mengarahkan dan umum dalam belanjawan. Jadi, saya rasa sebenarnya boleh diteruskan. Saya percaya pihak DBKL boleh percepatkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akan berhubung dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa bagi mengenal pasti kawasan Parlimen yang perlu diberikan keutamaan dalam proses penggantian lif.
“Saya akan cuba bertanya dengan Dr. Zaliha, apakah proses yang perlu, mungkin di setiap parlimen ada kawasan yang perlu diutamakan dan kita akan tunjuk juga kepada Jabatan Perumahan DBKL,” katanya.
Sebelum ini, beberapa PPR di ibu negara dilaporkan mengalami masalah lif rosak berpanjangan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penghuni, khususnya warga emas dan golongan kelainan upaya (OKU). – MalaysiaGazette
















