KUALA LUMPUR – Kerajaan memeperuntukan RM4.3 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di 115 premis Tabika dan Taska Kemas di seluruh Sarawak pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah wang berkata, peruntukan itu disalurkan di bawah Bajet Pembangunan 2025 bagi memastikan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak berada dalam keadaan selamat dan kondusif.
Menurut beliau, berdasarkan data Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan (SMPK), terdapat 1,010 premis Tabika dan Taska Kemas di Sarawak ketika ini, termasuk 189 premis yang masih beroperasi secara menumpang di bangunan seperti balai raya, masjid dan dewan komuniti.
“Sebanyak 20 projek Tabika dan Taska Kemas telah diluluskan untuk Negeri Sarawak merangkumi pelbagai status pelaksanaan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Bagi tujuan penambahbaikan, satu kertas cadangan berkaitan penggazetan premis menumpang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) pada 26 Jun lepas,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Rubiah (GPS-Kota Samarahan) menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai usaha menaik taraf atau membina baharu kelas Tabika KEMAS, khususnya yang beroperasi di bangunan daif dan masih menumpang di premis lain di Sarawak.
Tambah beliau, mesyuarat turut bersetuju agar kerajaan negeri disarankan memulakan proses pewartaan atau penggunaan ke atas premis-premis tersebut, sama ada tanah atau bangunan atas nama Program Pembangunan Modal Insan Komuniti (PPMIK).
“Proses ini amat penting bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf dilaksanakan demi menjamin persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan selamat bagi kanak-kanak serta tenaga pengajar.
“KKDW sentiasa memohon peruntukan tahunan daripada Kementerian Ekonomi (KE) bagi pembinaan premis baharu Tabika dan Taska KEMAS.
“Kelulusan adalah tertakluk kepada pemilikan tanah di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) atau tanah rizab yang diwartakan untuk Kemas, serta unjuran enrolmen melebihi 15 orang kanak-kanak bagi setiap kelas dalam tempoh lima tahun berturut-turut,” katanya. – MalaysiaGazette
















