KUALA LUMPUR – Siling penggunaan sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.
Kementerian Kewangan berkata, ia juga telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan mendapati lebih 53,900 individu bakal menerima kenaikan siling kelayakan kepada 600 liter sebulan.
Selain itu, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95 yang mana ia melibatkan 11,200 pemandu baharu mendapat lesen serta 260 pemandu yang telah memperbaharui lesen mereka.
Ini menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia dapat menerima manfaat BUDI95.
“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, MoF turut mengumumkan BUDI95 kini turut diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak.
Katanya, berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan, MoF telah mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di negeri tersebut.
Tambahnya, orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.
Portal tersebut turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna. -MalaysiaGazette
















