Murad Jailani

PASIR GUDANG – Janji Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bayaran tunai RM500 sebulan dan RM6,000 setahun kepada rakyat sekiranya Perikatan Nasional (PN) kembali mentadbir negara adalah tidak realistik.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, janji baharu tersebut tidak berpandukan realiti ekonomi semasa dan rakyat wajar menilai secara rasional.

“Jika ketika berkuasa mereka gagal mengawal harga barang, gagal menambah pelaburan, dan membebankan rakyat menggunakan simpanan sendiri, bagaimana mungkin kini mereka mampu menunaikan janji memberi RM500 sebulan kepada semua?

“Janji besar tidak bermakna jika rekod pemerintahan sendiri membuktikan kegagalan,” katanya dalam kenyataan hari.

Jelasnya, semua itu boleh dibuktikan berdasarkan rekod pemerintahan PN semasa menjadi kerajaan antara 2020 hingga 2022 dan rakyat perlu menilainya.

“Fakta jelas menunjukkan bahawa sepanjang tempoh pemerintahan PN, rakyat dipaksa guna simpanan sendiri ketika krisis pandemik Covid-19, rakyat tidak diberi bantuan fiskal langsung yang mencukupi,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan PN membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri untuk menampung kos sara hidup.

“Langkah ini melemahkan simpanan masa depan rakyat dan bukan satu dasar ekonomi yang mampan,” katanya.

Murad mendakwa, selain itu juga semasa mentadbir negara harga barang menjadi tidak terkawal dan ada barangan yang turut disembunyikan.

Katanya, rakyat juga berdepan kenaikan harga barang secara mendadak malah minyak masak peket sukar diperoleh di pasaran akibat kegagalan kawalan bekalan.

Tindakan pantas tidak diambil yang menyebabkan inflasi isi rumah meningkat terutama bagi golongan B40, katanya.

“Pelabur asing hilang keyakinan akibat ketidaktentuan dasar dan keputusan politik yang tidak konsisten menyebabkan pelabur asing menarik diri,” dakwanya lagi.

Malaysia ujarnya, kehilangan daya saing berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam selain keyakinan pasaran menjunam yang menjejaskan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Begitu juga katanya, tadbir urus lemah dan ketidaktentuan politik pentadbiran PN yang diselubungi isu lompat parti, kerap berlaku pertukaran menteri serta ketidaktentuan hala tuju ekonomi.

Banyak dasar diumumkan tanpa pelaksanaan konsisten katanya, menyebabkan keyakinan rakyat dan dunia perniagaan merudum.

“Ketika Kerajaan Madani berjaya menstabilkan fiskal negara, menarik pelaburan baharu dan memperkukuh nilai ringgit, PN tampil dengan janji baharu yang tidak berpijak pada realiti ekonomi semasa,” katanya.

Semalam Hamzah dilaporkan berkata, PN berjanji akan memperkenalkan semula Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sekiranya diberi mandat menjadi kerajaan dengan pemberian tunai sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Hamzah berkata, rakyat akan diberi kebebasan untuk berbelanja menggunakan bantuan tersebut.

“Daripada apa yang dibentangkan kerajaan, PN yakin bahawa kedudukan fiskal negara mempunyai keupayaan untuk kami memperkenalkan BPN sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah yang memerlukan.

“Berbeza dengan bantuan yang bersyarat dan terhad seperti skim SARA (Sumbangan Asas Rahmah) yang mengekang pilihan rakyat, PN akan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menentukan sendiri perbelanjaan mereka di mana dan apa yang mereka perlukan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat semalam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast