KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak menyokong sepenuhnya syarat-syarat yang terkandung dalam pelan damai antara Hamas dan Israel yang dirintis oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Sebaliknya, jelas perdana menteri, sokongan Malaysia terhadap pelan damai itu adalah dengan bersyarat, dan ia juga merupakan satu keputusan dan pendirian yang dibuat secara sukar serta dipersetujui pada saat-saat akhir.
Menurut beliau, sokongan bersyarat itu juga menjelaskan mengapa Malaysia tidak dijemput sebagai salah satu daripada 20 negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh untuk menandatangani perjanjian pelan damai Gaza di Mesir, semalam.
Jelas beliau, antara syarat sokongan Malaysia terhadap pelan damai itu adalah mengiktiraf hak Palestin sebagai sebuah negara, menyelesaikan semua masalah termasuk di Tebing Barat dan rakyat Palestin yang terusir diberi hak untuk kembali ke tanah air mereka.
Berhubung pelan damai yang dirintis Trump pula, Anwar berkata, dukungan Malaysia adalah selari dengan pendirian beberapa negara Islam lain iaitu mahu supaya pembunuhan ke atas rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak dihentikan segera.
“Untuk sekarang, kita mahukan serangan di Gaza dihentikan dan bantuan kemanusiaan seperti makanan dan perubatan dibawa masuk segera.
“Setakat semalam, sebanyak 167 trak yang bawa bantuan sudah dibenarkan memasuki Gaza walaupun yang dijanjikan sebanyak 600 trak bantuan, dan situasi ini sedang dipantau oleh negara-negara Arab dan negara-negara Islam,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pendirian kerajaan terhadap pelan damai yang dikemukakan oleh Trump berhubung konflik Palestin-Israel serta sejauh mana pelan tersebut selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara itu.
Sementara itu, kepada soalan tambahan Indera Mohd Shahar berhubung langkah yang akan diambil Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berhubung konflik di Gaza dengan kehadiran Trump ke negara ini hujung bulan ini, Anwar berkata, Malaysia akan mengulangi penghargaan terhadap AS yang merintis pelan damai tersebut.
Dalam masa sama, ujarnya, Malaysia juga dengan tegas akan menggesa AS menghalang segala pencerobohan hak dan penjajahan yang berlaku ke atas Gaza serta Palestin.
“Selain itu, negara-negara ASEAN juga seperti pendirian yang telah dikemukakan sebelum ini akan bantu untuk sampaikan kepada Trump bahawa harus lihat kepada fasa-fasa berikutnya iaitu untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh dalam konflik di Palestin,” katanya.
Sementara itu, kepada soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) sama ada pelan damai terbaharu tersebut mampu menamatkan konflik di Palestin, Anwar bagaimanapun mengakui beliau tidak yakin ia akan berjaya berdasarkan pengalaman sebelum ini.
Menurut beliau, sebelum ini Israel sudah beberapa kali bertindak melanggar pelan damai yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya dalam tempoh beberapa bulan atau tahun ia dicapai.
““Sebab itu bagi pelan damai di Mesir ini, walaupun kita sokong bersyarat, tetapi rakan-rakan kita dari negara Islam memberi jaminan mahukan perjanjian damai ini dilaksanakan dan mereka juga bertanggungjawab pastikan Israel mematuhinya,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Trump tiba di Sharm el-Sheikh di Mesir, semalam di mana beliau menyertai beberapa pemimpin dunia di Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh serta menandatangani perjanjian pelan damai Gaza.
Sidang kemuncak antarabangsa itu menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia, termasuk Trump dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi selaku tuan rumah, dalam usaha merangka pelan damai bersepadu selepas dua tahun konflik di Gaza.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata dimeterai minggu lalu turut merangkumi pembebasan tebusan serta tahanan Palestin yang menjadi antara agenda utama sidang kemuncak itu.
Sidang kemuncak itu dijangka menjadi titik tolak penting dalam usaha diplomatik global untuk mengakhiri keganasan dan membina semula keamanan di rantau berkenaan. – MalaysiaGazette
















