Norazrin (kanan) bersama Zai dan suaminya yang membuat aduan di Pejabat MTPN, Mount Austin, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Membayar ansuran RM1,000 sebulan kepada satu vendor perkahwinan untuk mencukupkan jumlah RM17,800 sebelum menjelang hari bahagia.

Namun apabila jumlah tersebut sudah cukup, vendor perkahwinan berkenaan menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi bakal pengantin.

Malah apabila dicari sehingga ke rumah atau alamat yang diberikan, pejabat atau kediaman tersebut sudah kosong.

Itu mimpi ngeri dialami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zai menjelang hari perkahwinannya dan tidak pernah terbayang momen dinantikan menjadi sebaliknya.

Susulan itu dia membuat laporan polis pada Jun lalu dan mahu kes berkenaan dibawa ke mahkamah tetapi sehingga kini tiada perkembangan.

Masalah tersebut kemudian diadukan kepada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) supaya tindakan dan siasatan dapat diambil.

Ketua Exco Perlindungan Pengguna MTPN, Norazrin Amin berkata, Zai dan pasangannya pada mula tertarik dengan pakej perkahwinan ditawarkan vendor tersebut dalam sebuah ekspo perkahwinan, di sini, yang dianjurkan pada 2024.

“Zai telah mengambil pakej perkahwinan daripada vendor berkenaan setelah tertarik tawaran harga yang kompetitif serta kemudahan pembayaran secara ansuran sebanyak RM1,000 sebulan dengan jumlah keseluruhan RM17,800.

“Namun, kira-kira sebulan sebelum tarikh perkahwinan pada Jun lalu, vendor berkenaan didapati tidak lagi dapat dihubungi dan premis butiknya telah ditutup.

“Akibatnya, pengadu mengalami kerugian sepenuhnya atas jumlah yang telah dibayar,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MTPN, Mount Austin, di sini, hari ini.

Katanya, disebabkan tarikh dan kad jemputan sudah ditempah, Zai dan pasangannya tetap melangsungkan perkahwinan pada Julai lalu dengan pakej bajet.

Beliau berkata, kes Zai itu merupakan antara 18 kes penipuan vendor perkahwinan yang diterima pihak MTPN setakat ini.

Katanya, dua vendor terlibat dalam semua kes tersebut, selepas semakan aduan dibuat mendapati mangsa lain turut mengalami nasib sama dengan modus operandi itu.

Sehubungan itu ujarnya, MTPN sedang mengumpulkan bukti dan maklumat daripada semua mangsa bagi tujuan mengadakan sidang media rasmi bagi meningkatkan kesedaran awam dan mengelakkan lebih ramai pengguna menjadi mangsa penipuan.

Pihak MTPN juga katanya, meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak terlibat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast