KULAI – Cetakan tulisan Tamil yang terbalik pada kain rentang Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Sambutan Perayaan Deepavali, di sini, pada Sabtu lalu adalah kesalahan teknikal dan tidak mempunyai motif tertentu.
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) Zon Airport City, Datuk A Siva Chandran berkata, perkara tersebut tidak disengajakan yang dilakukan pihak kilang.
Ketua MIC Bahagian Kulai itu menjelaskan, sebelum cetakan dilakukan beliau sudah melakukan semakan bagi memastikan ejaan betul dan tiada kesalahan lain.
“Sebelum proses percetakan saya sendiri telah menyemak dan memastikan semua ejaan serta ayat dalam bahasa Tamil pada rekaan asal banner tersebut betul dan tepat.
“Namun begitu, setelah proses cetakan siap, didapati tulisan dalam bahasa Tamil terbalik akibat masalah teknikal pada perisian digunakan pihak syarikat percetakan yang tidak menyokong fon Tamil dengan betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut yang dianjurkan Yayasan Sejahtera Kulai berlangsung Sabtu lalu bagi meringankan beban penerima menjelang Deepavali.
Katanya, kesilapan itu hanya disedari semasa hari majlis berlangsung dan beberapa hadirin yang perihatin telah menegur perkara ini.
“Saya telah menjelaskan secara terbuka bahawa ia bukan kesalahan ejaan atau penulisan, tetapi berpunca daripada masalah teknikal semasa proses cetakan,” katanya.
Bagaimanapun beliau memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terganggu dengan perkara tersebut.
“Saya ingin menegaskan bahawa Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu ini,” ujarnya.
Malah katanya, semua 350 penerima Bantuan Sempena Deepavali 2025 gembira dan berterima kasih atas bantuan dan sumbangan yang diberikan.
“Saya berharap agar semua pihak tidak memanipulasi atau menularkan perkara ini untuk kepentingan mana-mana pihak.
“Saya mengambil iktibar daripada insiden ini dan akan memastikan agar perkara sebegini tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.- MalaysiaGazette
















