Enam saman dikeluarkan terhadap pelajar menerusi Op Didik di Jalan Beladau 37, Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Enam keping saman dikeluarkan terhadap pelajar sekolah atas dua kesalahan menerusi Op Didik di Jalan Beladau 37, Taman Puteri Wangsa di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi tersebut dilakukan pukul 1 hingga 2.30 petang tadi.

“Seramai sembilan anggota dari Balai Polis Taman Pelangi Indah terlibat dan menahan 19 buah motosikal sebelum 29 pelajar sekolah diperiksa.

“Sebanyak empat keping saman dikeluarkan atas kesalahan tiada cermin sisi dan dua keping saman kerana tiada nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, Op Didik merupakan inisiatif komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi memupuk kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar.

Program itu katanya, turut dijalankan hasil aduan guru disiplin berhubung pelajar yang didapati melepak selepas tamat waktu sekolah.

Katanya, melalui pelaksanaan operasi tersebut pihak polis memberikan teguran dan nasihat keselamatan kepada pelajar terbabit.

“Ini bagi memastikan pelajar mengamalkan pemaduan berhemah, memakai topi keledar dan mematuhi undang-undang jalan raya,” tegasnya.

Menurut Raub, usaha tersebut diharap dapat mengurangkan kemalangan jalan raya melibatkan pelajar serta meningkatkan kesedaran sivik remaja.

“Ini sejajar dengan hasrat polis untuk membentuk masyarakat yang berdisiplin dan selamat di jalan raya,” tambahnya.

IPD Johor Bahru Selatan katanya, akan meneruskan program pencegahan dan pendidikan seperti itu secara berkala khususnya di kawasan sekolah dan lokasi tumpuan pelajar bagi memastikan keselakatan awam terpelihara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast