KUALA LUMPUR – Pengurusan Bencana dan Tindakan Kecemasan (AADMER) mencerminkan komitmen bersama ASEAN bahawa tiada negara anggota akan berhadapan dengan bencana secara bersendirian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata,sepanjang tempoh ini, ASEAN telah berkembang daripada sekadar menyelaras tindak balas kepada menjadi rakan global yang diyakini dalam pengurusan bencana, melalui mekanisme seperti Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), DELSA, dan Rangkaian ASEAN-ERAT.
Hari ini Ahmad Zahid mewakili Malaysia bagi menyampaikan Kenyataan Menteri pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-13 dan Persidangan Pihak-Pihak kepada AADMER (COP-AADMER) ke-14.
Malaysia bersama Negara-Negara Anggota ASEAN memperingati ulang tahun ke-20 Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindakan Kecemasan (AADMER) – satu kerangka penting yang telah membimbing usaha kolektif ASEAN dalam memperkukuh daya tahan bencana dan bantuan kemanusiaan sepanjang dua dekad yang lalu.
Menurut Ahmad Zahid, Malaysia berbangga kerana telah memainkan peranan aktif dalam perjalanan bersama ini.
“Antaranya, Malaysia menjadi tuan rumah kepada gudang serantau DELSA di Subang menyokong latihan dan penugasan ASEAN-ERAT, serta terus memperjuangkan penubuhan Pasukan Sedia Siaga Ketenteraan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Tindakan Bencana (AMRG on HADR),” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Zahid, sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia kekal komited memperkukuh keupayaan kolektif serantau dalam pengurusan bencana dan tindak balas kemanusiaan berpandukan prinsip One ASEAN, One Response.
“Tindakan pantas dan penyelarasan dalam kalangan negaranegara ASEAN dalam menangani bencana gempa bumi di Myanmar awal tahun ini membuktikan semangat perpaduan dan kerjasama di Bawah kerangka AADMER.
“Bagi memperkukuh lagi komitmen ini, Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan sumbangan one-off USD100,000 kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN (ADMER Fund).
“Sumbangan ini menzahirkan semangat solidariti Malaysia
bersama semua Negara Anggota ASEAN serta tanggungjawab Bersama untuk memastikan mekanisme ASEAN khususnya AHA Centre terus diperkasa bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan yang cepat, berkesan dan berasaskan keperluan,” katanya.
Sumbangan Malaysia, katanya, mencerminkan komitmen berterusan terhadap agenda ketahanan kolektif ASEAN.
Malaysia yakin semangat kerjasama ini akan menggalakkan Negara-Negara Anggota dan rakan-rakan serantau untuk terus memperkukuh Tabung ADMER sebagai tonggak kesiapsiagaan dan tindak balas bencana ASEAN.
“Saya juga telah menegaskan visi Malaysia untuk melihat ASEAN menerajui kepimpinan global dalam bidang ketahanan bencana dengan pendekatan yang inovatif, inklusif dan berteraskan rakyat.
“Insya-Allah, ASEAN akan terus membina sistem yang mampu menyelamatkan nyawa, mengurangkan penderitaan dan melindungi sumber kehidupan buat generasi akan dating,” katanya. – MalaysiaGazette
















