Marina menggunakan kerusi roda selepas rebah dalam Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah tiba-tiba rebah selepas pertuduhan terhadapnya iaitu memberi rasuah dibacakan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Mariana Umar, 50, rebah ketika hendak dibawa keluar dari mahkamah sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda.

Sebelum itu, tertuduh mengaku tidak bersalah di mahkamah tersebut atas pertuduhan memberi rasuah kepada penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Mac lalu.

Mariana membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Mariana memberi suapan wang tunai bernilai RM600 kepada seorang Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap dirinya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada PBT.

Perbuatan itu dibuat tertuduh selepas melakukan kesalahan dibawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018, Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM2,000 atau dipenjarakan selama satu tahun atau kedua-duanya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Universiti, Skudai di sini pukul 12.30 tengah hari pada 10 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga satu perempat daripada maksimum hukuman penjara bagi kesalahan asal atau denda,l atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhd Faizul Kamaro Zaman.

Muhd Faizul dalam hujahnya memohon jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh sekiranya dibenarkan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi yang mewakili tertuduh meminta agar nilai wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh hanya berpendapatan RM1,000 sebulan dan sudah berpisah dengan suaminya serta menanggung anak saudara di Indonesia.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 terhadap Mariana dengan seorang penjamin warga tempatan.

Kes ditetapkan semula pada 20 November untuk lantikan peguam dan penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast