JOHOR BAHRU – Seorang pembantu restoran warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM3,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Yasin Abdul Karim, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) secara rasuah memberi suapan wang tunai bernilai RM3,000 kepada Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Perbuatan itu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas dirinya kerana telah melakukan satu kesalahan di bawah UUK 4 Undang-Undang Kecil Penjaja Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (2020).
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP, pasa pukul 3 petang, 19 Januari 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin.
Fazal memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin dan tidak menawarkan sebarang jaminan.
Bagaimanapun Peguam, Chai Chee Ping yang mewakili tertuduh meminta wang jaminan yang munasabah berikutan tertuduh menanggung isteri dan dua anak berusia 19 dan 13 tahun.
“Beliau bekerja sebagai pekerja restoran di Taman Universiti di sini dengan gaji RM3,500 sebulan. Pemegang kad UNHCR secara sah dan sudah berada di negara ini sejak 15 tahun lalu,” hujahnya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penajmin warga Malaysia, selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 19 November sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















