JOHOR BAHRU – Gara-gara tersilap menekan pedal minyak, sebuah kereta dipandu seorang wanita melanggar lima buah kenderaan di Jalan Kuning, Taman Pelangi, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pukul 9.14 pagi itu berlaku apabila wanita berusia 49 tahun yang bekerja sebagai ejen insuran sedang memandu kereta jenis Mini Cooper dari arah Jalan Pingai menuju ke Jalan Kuning.
“Ketika tiba di persimpangan, wanita terbabit tersilap menekan pedal minyak lalu terbabas dan melanggar lima buah kenderaan lain yang sedang diparkir berhampiran deretan kedai.
“Hasil ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu wanita berkenaan didapati negatif dan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 10(1) LN 166/59 iaitu gagal mengawal kenderaan.
Sebelum itu, tular beberapa gambar dan video berdurasi 14 saat di media sosial memaparkan beberapa buah kenderaan rosak dilanggar sebuah kereta.- MalaysiaGazette
















