ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bercakap pada Program Platform MG bertajuk 'YB Muda, Buat Kerja atau Sekadar Popular' di Dewan FSSR, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkenalkan mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Karakter sebagai tunjang Kurikulum 2027 wajar dinilai semula secara mendalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata, perkara itu dikhuatiri hanya akan menambah beban kepada guru dan murid yang sudah pun terbeban dengan silibus sedia ada.

Jelasnya lagi, walaupun niat kerajaan untuk membentuk sahsiah dan keperibadian murid amat baik, pelaksanaan dalam bentuk subjek baharu bukanlah langkah terbaik buat masa ini.

“Kita memahami cadangan berkenaan disasarkan di peringkat prasekolah, namun, langkah berhati-hati amat diperlukan supaya ia tidak diperluas ke peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Peringkat ini sudah pun memikul beban subjek yang banyak dan tidak seimbang dengan tahap perkembangan kognitif serta emosi murid,” katanya di Facebooknya, hari ini.

Mohd Ashraf Mustaqim mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa KPM akan memperkenalkan mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Karakter yang akan menjadi tunjang kepada Kurikulum Persekolahan 2027 bermula tahun depan.

Fadhlina ketika di Dewan Rakyat berkata, ketika ini KPM sedang membuat persiapan bagi pelaksanaan kurikulum itu yang akan dimulakan oleh pra sekolah bagi memperkasa lagi pembangunan peribadi dan sahsiah murid.

Kata beliau, pada masa sama, KPM akan terus memberi tumpuan kepada aspek nilai, akhlak dan peribadi yang terkandung dalam kurikulum sedia ada.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, kementerian sepatutnya menilai semula struktur keseluruhan kurikulum bagi mengenal pasti subjek yang benar-benar relevan dan berkesan terhadap pembentukan nilai serta kemahiran psikometrik masa depan anak-anak.

Ujarnya lagi, pakar pendidikan seperti Dr. Anuar Ahmad turut menyuarakan kebimbangan ramai guru kini tidak sempat menghabiskan silibus walaupun tahun persekolahan sudah separuh berlalu.

Dalam keadaan sedemikian, katanya, penambahan subjek baharu hanya akan menambah tekanan kepada guru dan murid.

“Keluhan ibu bapa yang terpaksa mengajar sendiri anak-anak di rumah menggambarkan kegagalan struktur semasa dalam mengimbangi masa pembelajaran dengan hasil penguasaan ilmu.

“Bagaimana pula ibu bapa di kampung yang pelajarannya tidak tinggi?” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, negara maju seperti Finland dan Jepun tidak menambah subjek untuk mendidik nilai, sebaliknya mengintegrasikan aspek karakter dan moral dalam semua aktiviti pembelajaran serta kehidupan sekolah.

Katanya, pendekatan ini mengurangkan tekanan akademik dan menumbuhkan empati, disiplin serta tanggungjawab sosial secara semula jadi.

“Kerajaan sepatutnya memperkukuh nilai dan karakter melalui penambahbaikan subjek sedia ada seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik.

“Pendekatan ini boleh diperluas melalui aktiviti khidmat masyarakat, kempen pembudayaan nilai dan program kesejahteraan sekolah yang menekankan amalan hikmah dan adab,” jelasnya.

Tambah beliau, isu kesihatan mental di sekolah kini bukan hanya membelenggu pelajar tetapi juga guru akibat tekanan kerja yang berlebihan dan sistem penilaian yang kaku.

Justeru, reformasi kurikulum mesti berpaksikan kesejahteraan insan secara menyeluruh.

“Pendidikan karakter tidak sepatutnya dijadikan subjek baharu, tetapi perlu menjadi roh yang mengalir dalam setiap aspek sistem pendidikan.

“Hanya dengan mendidik hati dan akal secara seimbang, barulah kita dapat melahirkan generasi berilmu, beradab dan berjiwa tenang,” katanya. — MalaysiaGazette

Mata pelajaran baharu Pendidikan Karakter diperkenal tahun depan – Fadhlina

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast