KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Karakter yang akan menjadi tunjang kepada Kurikulum Persekolahan 2027 bermula tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini KPM sedang membuat persiapan bagi pelaksanaan kurikulum itu yang akan dimulakan oleh pra sekolah bagi memperkasa lagi pembangunan peribadi dan sahsiah murid.
Kata beliau, pada masa sama, KPM akan terus memberi tumpuan kepada aspek nilai, akhlak dan peribadi yang terkandung dalam kurikulum sedia ada.
“Antara perkara yang sedang kita lakukan ketika ini termasuk membuat persiapan berkaitan kurikulum 2027 iaitu kurikulum baharu yang mana dalam kurikulum ini terdapat satu mata pelajaran yang penting dan diteras kepada semua iaitu Pendidikan Karakter.
“Jadi Pendidikan Karakter ini akan menjadi tunjang kepada kurikulum baharu yang akan bermula 2026, tahun hadapan manakala yang terkait rapat dengan nilai, akhlak, peribadi semua sudah pun berada dalam kurikulum kita itu panjang.
“Jadi untuk pengkhususan kurikulum baharu ini, kita telah pun meletakkan bahawa antara perkara yang paling penting adalah terkait rapat dengan Pendidikan Karakter ini.
“Jadi bermula tahun hadapan, kurikulum ini akan dimulakan oleh prasekolah akan memulakan terlebih dahulu terkait rapat dengan kurikulum baharu ini.
“Perdekatan pendidikan karakter ini akan menjadi tunjang yang akan terus diberikan perhatian penuh berkaitan dengan apa yang dihasratkan oleh seluruh warga pendidikan terkait rapat dengan pendidikan karakter,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad bahawa banyak perkara negatif berkait sistem pendidikan negara ‘disimpan bawah karpet’. Fadhlina berkata, ia tidak bermaksud kes yang berlaku di sekolah disembunyikan.
Sebaliknya terdapat insiden yang sudah dilaporkan, ujar beliau.
“Beliau tidak bermaksud ada kes disembunyi tetapi terdapat insiden di sekolah sebenarnya sudah diketahui atau dimaklumkan kepada pihak berkaitan, sama ada guru, pentadbir, guru kaunseling, Pejabat Pendidikan Daerah (JPN) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), namun pada ketika itu dianggap sebagai kes kecil, tidak serius atau bersifat sementara.
“Akibat persepsi itu, tindakan intervensi yang diambil mungkin bersifat ringan dan tidak menyeluruh. Itu yang sangat menggusarkan hati kami kalau kes-kes seperti ini tidak diberikan perhatian dan kami tidak dapat melaksanakan siasatan dan intervensi yang menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette
















