MELAKA – Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan semula kira-kira 10,000 bendera yang pernah dipasang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan untuk kempen PRN Melaka.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, bendera berkenaan sudah diterima pusat operasi PH dan masih boleh digunakan.
Menurutnya, penggunaan semula bendera itu dapat mengurangkan pembaziran selain membantu menjaga alam sekitar.
“Pusat operasi kami menerima kira-kira 10,000 bendera Pakatan Harapan yang boleh digunakan semula.
“Bendera ini sebelum ini digunakan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, dan kini diteruskan penggunaannya di Melaka.
“Kami mungkin tidak sekaya parti lain, tetapi kita boleh kurangkan pembaziran dan jaga alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September bagi memberi laluan kepada PRN.
Pada PRN Melaka ke-15, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – MalaysiaGazzette.
















