Azam Baki (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Onn Hafiz berucap dalam Sesi Libat Urus SPRM Bersam a Ahli Dewan Negeri (DUN) Johor, di Dewan Mesyuarat, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri, hari ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membangunkan sistem perolehan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketelusan dan ketulusan dalam urusan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sistem berkenaan akan diuji di negeri ini dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanannya.

“SPRM sentiasa bersedia membantu kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus dan memastikan integriti dalam setiap pelaksanaan dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Libat Urus SPRM Bersama Ahli Dewan Negeri (DUN) Johor, di Dewan Mesyuarat, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail dan Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim.

Beliau berkata, Johor yang pesat membangun perlu memberi tumpuan kepada isu integriti kerana negeri yang aktif dalam pembangunan ekonomi berisiko tinggi berdepan dengan kes rasuah berskala besar.

Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya komited memperkukuh usaha pencegahan rasuah serta meningkatkan tahap tadbir urus dan integriti di semua peringkat pentadbiran bagi memastikan negara kekal berada di landasan yang betul.

Jelasnya, pendekatan pencegahan rasuah bukan sahaja bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang tetapi juga kefahaman pembuat dasar terhadap prinsip tadbir urus baik di peringkat negeri.

“Kita juga perlu mempromosikan integriti dalam perkhidmatan awam agar dasar kerajaan dilaksanakan dengan telus,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai kempen ‘Keep Malaysia Clean’ (KMC) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 1 Oktober lalu sebagai inisiatif nasional bagi memperkukuh kesedaran integriti dan menolak rasuah di semua peringkat masyarakat.

“Kempen ini bukan sekadar slogan. Ia menggambarkan hasrat kita untuk membebaskan negara daripada rasuah dan salah guna kuasa. Kalau Johor ingin menggunakan tema ‘Keep Johor Clean’, itu juga amat dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz yang menyambut baik usaha SPRM berkata, kerajaan negeri memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan SPRM dalam memperkukuh integriti serta meningkatkan kepercayaan pelabur terhadap Johor.

“Kerajaan negeri bersama-sama barisan Exco dan semua ahli DUN akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada SPRM demi memastikan Johor terus berada di landasan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.

“Kehadiran SPRM ke Johor merupakan peluang penting untuk menambah baik sistem pentadbiran negeri khususnya dalam aspek integriti dan kecekapan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast