JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mahu setiap Rukun Tetangga (RT) menjadi platform pembangunan sosial yang dinamik dan bukan sahaja menjaga keamanan kejiranan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Budaya dan Warisan Johor, K. Raven Kumar berkata, setiap RT harus menyemai nilai kasih sayang, tanggungjawab sosial dan identiti Johor yang bersatu padu.
“Inilah roh sebenar konsep Bangsa Johor sebuah masyarakat yang maju, berbudaya dan berpadu” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Khas Komuniti Rukun Tetangga Negeri Johor, sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga di Hotel New York di sini semalam.
Kata Raven, identiti Bangsa Johor menjadi pemangkin semangat perpaduan rakyat negeri itu dan dalam konteks nasional pula menyemai kesedaran tentang pentingnya keharmonian dan permuafakatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pasa masa sama, pihaknya akan terus komited menyokong pelbagai inisiatif perpaduan yang melibatkan komuniti akar umbi di seluruh negeri.
Dalam pada itu, Raven menyeru semua penerima bantuan khas agar memanfaatkan sumbangan tersebut demi memperkukuh aktiviti komuniti serta memperluas jaringan perpaduan.
“Gunakanlah dana ini untuk program berimpak tinggi kepada masyarakat sama ada dalam kebajikan, keselamatan, kebersihan, keusahawanan komuniti atau aktiviti sosial yang membina nilai murni,” ujarnya.
Dalam Belanjawan Johor 2025, kerajaan negeri meluluskan RM600,000 untuk diagihkan kepada 600 Rukun Tetangga aktif di seluruh negeri sebagai usaha memperkasa peranan RT dalam menjayakan agenda perpaduan negeri. – MalaysiaGazette
















