Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menuntut agar bekalan ubat dan vaksin influenza ditambah serta dipastikan mudah diperoleh di hospital dan klinik kerajaan.

Ketua Penerangannya, Suraya Sulaiman berkata, langkah itu sebagai persediaan khususnya bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai penyakit kronik.

“Malah, kerajaan tidak boleh hanya menunggu angka kes meningkat sebelum bertindak. Nyawa rakyat adalah tanggungjawab utama kerajaan.

“Penularan influenza ini perlu diurus secara serius, proaktif dan berasaskan data kesihatan awam yang telus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, Pejuang Johor mendesak kerajaan agar tidak memandang ringan perkara ini dan segera mengambil langkah pencegahan serta kawalan yang lebih menyeluruh.

Ujarnya, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mempertingkatkan pemantauan di sekolah, tempat kerja dan kawasan awam.

Tambah beliau, ini termasuk memperluaskan kempen kesedaran mengenai langkah-langkah pencegahan seperti vaksinasi influenza, pemakaian pelitup muka dan kebersihan tangan.

“Pejuang Johor akan terus memantau perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa dan mendesak langkah segera diambil demi melindungi kesihatan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast