Terminal Larkin Sentral di Bandaraya Johor Bahru kini siap dinaik taraf dengan kos RM2.5 juta.

JOHOR BAHRU – Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) selesai menaik taraf Terminal Larkin Sentral di bandar raya ini dengan kos RM2.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek naik taraf itu dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan terminal yang lebih selesa, efisien dan kondusif untuk manfaat semua pengguna terminal.

“Antara komponen utama kerja-kerja naik taraf yang telah selesai melibatkan membaik pulih pagar terminal dan menaik taraf bumbung kawasan menurunkan penumpang di pintu masuk utama.

“Ini termasuk menaik taraf bumbung kawasan Platform B dan membaik pulih jalan di laluan masuk bas ke terminal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berharap pembangunan infrastruktur itu dapat memberikan dimensi baharu untuk pengalaman perjalanan khususnya daripada segi kualiti, keselamatan dan keselesaan.

“Sesungguhnya, penambahbaikan ini adalah komitmen bersama yang diutamakan bagi memastikan kepentingan dan keselamatan komuniti terpelihara,” ujarnya.

Terdahulu, Mohamad Fazli meninjau terminal tersebut dengan disertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast