KOTA TINGGI – Kerajaan akan memperkenal satu garis panduan prosedur standard operasi (SOP) khas bagi mengendalikan kes-kes kesalahan melibatkan kanak-kanak minggu depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengumuman garis panduan itu akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 24 Oktober ini.
“Melalui garis panduan tersebut kerajaan mahu semua kes melibatkan kanak-kanak sama ada sebagai pelaku atau mangsa diselesaikan dalam tempoh satu tahun.
“Minggu depan, SOP khas bagi kes kanak-kanak akan dilancarkan. Ketua Hakim Negara dan Ketua Hakim Malaya juga telah bersetuju bahawa kes kanak-kanak mesti diberi keutamaan.
“Antara cabaran yang dikenal pasti sebelum ini ialah kelewatan kes disebabkan faktor seperti penangguhan, kekangan hakim dan logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar di sini hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, antara isu penting ialah apabila kanak-kanak disabitkan kesalahan, proses perbicaraan di mahkamah berbeza.
Ujar beliau misalnya, bagi kes jenayah seksual dan pengsaksian kanak-kanak, mahkamah menyediakan bilik khas.
“Kita juga telah memperkenalkan van keterangan bagi mempercepatkan proses pengambilan keterangan kanak-kanak.
“Ini kerana kelewatan kes sering menyebabkan mangsa kanak-kanak (ketika kejadian) enggan menjadi saksi (akibat tangguh sampai dewasa) kerana malu atau trauma,” katanya.
Van keterangan tersebut akan membantu kerana kanak-kanak yang tidak boleh bergerak sendiri ke mahkamah dan mereka yang perlu diurus selepas waktu sekolah.- MalaysiaGazette
















