KOTA TINGGI – Keputusan memfailkan rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil Persekutuan dari Sabah adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara (AG).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, ia bukan keputusan kementeriannya.
Beliau menegaskan, kementeriannya tidak mempunyai kuasa campur tangan dalam sebarang keputusan berkaitan rayuan yang akan dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.
“Fail rayuan itu bukan dalam bidang kuasa saya, ia terletak di bawah tanggungjawab Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan Putrajaya mengadakan semakan bersama kerajaan Sabah mengenai hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip kerajaan Persekutuan daripada negeri itu.
Perintah itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid membenarkan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak perlembagaan Sabah untuk menuntut 40 peratus hasil tersebut.
Mahkamah mengisytiharkan Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan tersebut mengesahkan kedudukan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menuntut supaya kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawabnya terhadap negeri berkenaan. – MalaysiaGazette
















