BEIJING – Sebuah pesawat penumpang Air China selamat dilencongkan ke Shanghai pada hari Sabtu selepas sebuah bateri dalam beg tangan penumpang terbakar.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata, insiden tersebut berlaku dalam penerbangan dari Hangzhou ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.
“Sebuah bateri litium terbakar secara spontan di dalam beg tangan penumpang yang disimpan di ruang penyimpanan atas kepala dalam penerbangan CA139,” kata Air China dalam satu kenyataan di platform Weibo.
Tiada kecederaan dilaporkan susulan kejadian tersebut.
Pesawat berkenaan dialihkan untuk melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai, “bagi memastikan keselamatan penerbangan,” kata syarikat itu lagi.
Sebuah imej yang disiarkan oleh media tempatan Jimu News, menunjukkan api terang keluar dari ruang simpanan atas kepala, manakala asap hitam memenuhi kabin dan sekurang-kurangnya seorang penumpang dilihat cuba memadamkan api.
Data daripada laman penjejakan penerbangan Flightradar24 menunjukkan pesawat itu berlepas dari Hangzhou pada jam 9:47 pagi waktu tempatan, membuat pusingan penuh di atas laut antara pantai timur China dan pulau Kyushu di selatan Jepun, sebelum mendarat di Shanghai sejurus selepas jam 11 pagi waktu tempatan. – Agensi
















