Ahmad Auf dan ahli keluarga menyiram pusara di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Jenazah pelajar Sains Gunaan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang di sini hari ini.

Keadaan sayu menyelubungi suasana tanah perkuburan itu dengan kehadiran ahli keluarga, saudara- mara dan kira-kira 80 penuntut UM memberi penghormatan terakhir.

Van yang membawa jenazah Allahyarham Ahmad Arif Zawir tiba di Masai kira-kira 5 petang sebelum dibawa ke Masjid Taman Rinting di sini untuk solat jenazah.

Jenazah selesai dikebumikan pada pukul 6.20 petang dalam keadaan hujan gerimis.

Terdahulu, jenazah allahyarham telah disolatkan sekitar pukul 9.50 pagi tadi di Surau Ad-Deeniah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sebelum ini, media melaporkan, Ahmad Arif Zawir ditemui terbaring atas lantai bawah blok kediamannya pukul 3.15 petang semalam.

Mangsa yang juga pelajar Sains Gunaan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam UM, kemudian dikejarkan ke PPUM untuk rawatan.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Pengurusan UM, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM.

Pada pagi tadi, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan punca kematian pelajar itu yang terjatuh dari bangunan Blok Zainab, Kolej Kediaman 13 semalam adalah akibat kecederaan serius di kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.

Beliau turut berkata, bedah siasat juga mendapati tiada kesan jerutan atau sebarang unsur jenayah lain.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast