KOTA TINGGI – Dua lelaki dan seorang wanita maut dalam kemalangan dua kereta di Jalan Jemaluang di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.05 petang.
Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pukul 5.42 petang dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda City dan Toyota Vios.

“Honda City dinaiki seorang lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 20 tahun, manakala Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Azlan berkata, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat termasuk rescue cutter dan stretcher.
Katanya, semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi dapat dikawal pada pukul 6.45 petang dan tamat sepenuhnya pukul 6.59 petang.- MalaysiaGazette
















