PASIR GUDANG – Adik beradik pelajar Universiti Malaya (UM), Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, yang maut terjatuh dari kediamannya semalam terkilan dan sedih kerana ibu bapanya tidak ada semasa pengebumian hari ini.
Abang allahyarham, Ahmad Auf Mohd Ali, 35, berkata, ia kerana ibu bapanya, Mohd Ali Hashim, 63, dan Roslina A Rahman, 61, ketika ini berada di Mekah kerana bertugas sebagai mutawif membawa jemaah umrah sejak 7 Oktober lalu.
“Namun umi dan abah dapat mengikuti proses bedah siasat dan solat jenazah di UM pagi tadi menerusi penstriman secara langsung sebelum kedua-duanya menaiki penerbangan pulang pukul 2 petang tadi.
“Mereka dijadualkan sampai pukul 12.30 tengah malam ini. Umi dan abah reda dengan pemergiannya kerana kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat,” katanya.
Dia yang merupakan anak ketiga daripada sembilan beradik berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Pasir Gudang di sini hari ini.
Ahmad Auf yang bekerja sebagai jurutera berkata, ibu bapanya berhasrat pulang secepat mungkin ke tanah air selepas mengetahui perkhabaran tersebut untuk mengikuti urusan jenazah dan proses pengebumian namun tidak kesampaian.
Katanya yang tinggal di Taman Rinting di sini kali terakhir dia berjumpa dengan allahyarham adalah pada Ahad lalu selepas menghantarnya pulang ke UM untuk proses pendaftaran semester baharu.
“Itu kali terakhir saya berjumpa dengannya, ketika itu saya tidak nampak sebarang perubahan. Saya tidak sangka itu pertemuan terakhir kami. Dia merupakan anak kelapan,” ujarnya.
Dia berkata, keluarganya berterima kasih kepada semua pihak yang memudahkan pengurusan jenazah termasuk UM, polis, unit Forensik dan Kementerian Pengajian.
Sementara itu, rakan sekelasnya, Asyrafuddin Arif Amaluddin Arip, 22, yang berasal dari Shah Alam, Selangor menyifatkan allahyarham seorang yang baik dengan semua orang dan tidak pernah mempunyai musuh.
“Dia sentiasa bawa tasbih dan buku agama, dia jarang penah bercakap tetapi sangat baik dengan semua orang. Kali terakhir berjumpanya pukul 3 petang kelmarin selepas mengikuti kelas Pendidikan Etika Islam Dalam Sains dan Teknologi,” katanya.
Seorang lagi rakannya, Muhammad Faiz Fahmi Abdul Basir, 21, berasal dari Baling , Kedah berkata, allahyarham mempunyai akhlak yang mulia, sopan dan disenangi semua rakan di universiti.
Tambahnya, allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian tersebut dan kelihatan gembira seperti biasa.
Sebelum ini media melaporkan, Ahmad Arif Zawir ditemui terbaring atas lantai bawah blok kediamannya pukul 3.15 petang semalam.
Mangsa, yang juga pelajar Sains Gunaan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam UM kemudian dikejarkan ke PPUM untuk rawatan.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Pengurusan UM, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















