Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas akhirnya menghembuskan nafas terakhir hari ini selepas lebih sehari bertarung nyawa susulan kemalangan di Jalan Hang Jebat 27, Skudai di sini semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berjalan kaki melintas jalan dilanggar sebuah kereta di jalan tersebut.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 10.58 pagi semalam.

“Kemalangan tersebut berlaku pukul 7 pagi apabila mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun sedang melintas telah dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Prius 1.8L (A).

“Kereta tersebut dipandu seorang wanita berusia 78 tahun yang datang dari arah Taman Mutiara Rini menuju ke Taman Ungku Tun Aminah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Balveer berkata, akibat kemalangan tersebut warga emas tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia hari ini manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azlina Abdul Raof 013-2864878.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast