WASHINGTON – Selepas menjalani 43 tahun dalam penjara atas tuduhan membunuh yang tidak dilakukannya, Subramanyam Vedam kini ditahan oleh pihak imigresen Amerika Syarikat (AS) dan berdepan kemungkinan diusir ke India — negara yang tidak pernah didiaminya sejak bayi.
Vedam, 66, telah dibebaskan awal bulan ini daripada tuduhan membunuh rakan sebiliknya, Tom Kinser, pada tahun 1980, selepas bukti baharu membuktikan dia tidak bersalah.
Namun sebelum sempat bertemu semula dengan keluarganya, Vedam telah ditahan oleh Jabatan Imigresen dan Kastam AS (ICE) kerana perintah pengusiran lama yang berpunca daripada sabitan jenayah membunuh dan kes dadah.
Walaupun tuduhan membunuh telah dibatalkan, sabitan kes dadah pada tahun 1984 masih kekal.
ICE berkata pihaknya bertindak berdasarkan “perintah sah yang dikeluarkan,” dan Vedam akan terus ditahan sementara menunggu proses pengusiran.
Keluarga dan peguamnya kini merayu keputusan itu, dengan alasan Vedam telah menghabiskan hampir seluruh hidupnya di Amerika Syarikat dan tidak mempunyai pertalian yang kukuh dengan India.
“Keputusan tersebut seolah-olah hidup Vedam dicuri dua kali,” kata adiknya, Saraswathi Vedam.
Lebih 40 tahun lalu, Vedam disabitkan membunuh Kinser, seorang pelajar kolej berusia 19 tahun. Mayat Kinser ditemui sembilan bulan selepas dia hilang, dengan kesan tembakan di kepala.
Vedam dituduh meminta Kinser menghantarnya menaiki kereta pada hari kejadian, dan walaupun kereta itu ditemui semula di tempat biasa, tiada siapa melihat siapa yang memulangkannya.
Dia tidak diberi jaminan, pasport dan kad hijau dirampas, serta dilabel sebagai “warga asing berisiko melarikan diri.” Dua tahun kemudian, dia disabitkan atas tuduhan membunuh dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Pada tahun 1984, dia turut dijatuhi hukuman tambahan antara dua setengah hingga lima tahun atas kesalahan dadah, tetapi hukuman itu dijalankan serentak dengan hukuman seumur hidup.
Sepanjang tempoh itu, Vedam menegaskan dia tidak bersalah, dan penyokongnya menyatakan tiada bukti fizikal yang mengaitkannya dengan jenayah tersebut.
Vedam, seorang penduduk tetap sah yang permohonan kewarganegaraannya telah diterima sebelum dia ditangkap, memperoleh beberapa ijazah dan menjadi mentor kepada banduan lain semasa dalam penjara.
Pasukan guamannya berkata, pengusiran ini akan menjadi “satu lagi ketidakadilan besar terhadap seorang lelaki yang telah menanggung penderitaan paling lama dalam sejarah”. – Agensi
















