`ULAT' KLIA yang ditahan JPJ Selangor dalam operasi di KLIA semalam. - Foto: FB JPJ Negeri Selangor

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang pemandu dipercayai `ulat’ yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan tidak berlesen atau secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

JPJ Selangor dalam satu kenyataan berkata, `ulat’ berkenaan yang memandu kereta jenis Toyota Vios ditahan hasil daripada intipan dan pemantauan di KLIA 2.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati pemandu berkenaan telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada tiga penumpang warga tempatan ke Balai Polis Sri Hartamas di sini, dengan kadar tambang sebanyak RM120 yang akan dibayar apabila tiba di destinasi.

“Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, JPJ Selangor menasihatkan orang ramai agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast