SEGAMAT – Program Ramah Mesra Bersama Orang Asal setiap tahun perlu menjadi ruang untuk menyuarakan keperluan dan masalah mereka kepada pihak berwajib.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Malaysia (PKJPM), Datuk Tan Lek Khang berkata, program yang diadakan sempena sambutan Hari Orang Asal Dunia perlu dijadikan kesempatan untuk orang asli berbuat demikian.
“Saya percaya program sebegini tetap membawa makna besar kerana ia mampu mengeratkan hubungan antara masyarakat luar dengan komuniti arang asli.
“Dalam masa sama, ia menjadi ruang untuk mereka menyuarakan keperluan dan masalah. Paling penting, mereka berasa dihargai kerana turut menyumbang pembangunan dan ekonomi negara dengan cara tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam program berkenaan di Kampung Orang Asli Kemidak, Labis di sini.
Lebih 1,500 penduduk daripada 500 keluarga di enam perkampungan orang asli sekitar Bekok di sini hadir dalam program berkenaan.
Berbeza tahun lalu yang berlangsung sehari di satu lokasi, kali ini PKJPM menjadikannya jelajah dua hari ke enam kampung berbeza bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat turut serta.
Hari pertama menyaksikan kunjungan ke Kampung Kemidak, Kampung Sri Tempayan dan Kampung Lenek manakala hari kedua diteruskan ke Kampung Tamok, Kampung Selai dan berakhir di Kampung Kudung.
Setiap lokasi mempunyai atur cara sama iaitu jamuan makan, sesi ramah mesra dan cabutan bertuah, namun suasana yang terhasil di setiap kampung tidak pernah sama, kerana senyuman penduduk menjadi warna tersendiri kepada perjalanan dua hari itu.
Antara yang paling gembira ialah Wan Muhammad Khairi Azwan Wan Karim, 28, dari Kampung Tamok yang memenangi sebuah motosikal baharu.
“Saya rasa bersyukur sangat. Saya sudah ada motosikal, tapi kongsi dengan isteri untuk ke kebun dan ke pekan. Sekarang, saya nak hadiahkan motosikal ini untuk dia supaya senang urus urusan harian,” katanya sambil tersenyum malu.
Sementara itu, seorang lagi pemenang hadiah motosikal, Ram Rizal Bogos, 31, dari Kampung Selai, tidak menyangka nasibnya berubah kali ini selepas gagal pada program sebelumnya.
“Saya memang tak sangka boleh menang. Nilai motosikal ini bukan murah dan memang salah satu idaman saya. Sekurang-kurangnya, saya dah tak perlu menabung lama-lama untuk beli motosikal baharu,” katanya berseloroh.
Bagi penduduk orang asli di Bekok, program seperti itu bukan sekadar pesta hadiah atau jamuan makan.
Program itu disifatkan mereka sebagai simbol pengiktirafan dan tanda bahawa masih ada pihak luar yang mahu mendekati, memahami dan menghargai kehidupan mereka.- MalaysiaGazette
















