Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memandang serius dapatan kajian Central Force International (CFI) yang menunjukkan 77 peratus rakyat masih bergelut dengan peningkatan kos sara hidup meskipun negara dalam fasa pemulihan ekonomi.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, data ini jelas menunjukkan jurang antara statistik ekonomi dan realiti rakyat masih luas.

“Rakyat tidak melihat kestabilan angka makro ekonomi sebagai jaminan kesejahteraan sebenar, terutama di peringkat isi rumah.

“PGIRM melihat trend kebelakangan ini, ramai pencarum KWSP terdesak mula mengalihkan perhatian kepada perkembangan politik dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Ia seolah-olah isu ekonomi peribadi sudah tiada harapan untuk diselesaikan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, CFI menerbitkan Laporan Trend Pengguna di Malaysia Edisi 2025 mengenai Persepsi Rakyat terhadap Kos Sara Hidup yang mana 77 peratus masih bergelut dan terhimpit dengan kos sara hidup; 15 peratus pula neutral dan mampu bertahan serta 8 peratus lagi dalam keadaan stabil secara kewangan.

Menurut Azmi, keletihan rakyat dalam memperjuangkan hak pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Akaun 1 sejak 2021 telah menimbulkan rasa skeptikal dan hilang kepercayaan terhadap sistem sedia ada.

“Ramai pencarum rasa suara mereka tidak didengar. Bila perjuangan ekonomi gagal menarik perhatian kerajaan, mereka mula meletakkan harapan kepada perubahan politik.

“Tapi hakikatnya, masalah kos sara hidup tidak menunggu PRN atau pilihan raya umum (PRU), ia menghimpit rakyat setiap hari,” katanya.

Azmi menegaskan, PGIRM menyeru agar semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang agar menjadikan isu kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama, bukan sekadar bahan kempen menjelang pilihan raya.

“PGIRM bukan badan politik, tetapi suara rakyat yang menuntut keadilan ekonomi. Kami percaya pengeluaran bersasar Akaun 1 masih jalan terbaik untuk membantu golongan terdesak tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, katanya, PGIRM turut menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan rundingan khas bersama wakil pencarum dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari solusi jangka sederhana terhadap tekanan kos sara hidup, termasuk mekanisme pengeluaran bersyarat bagi pencarum yang benar-benar memerlukan.

“Kita tidak menentang dasar kerajaan, tetapi menegur dengan fakta dan niat yang baik. Jika 77 peratus rakyat masih bergelut dengan hidup, bermakna dasar sedia ada belum sampai ke bawah.

“Inilah sebab kami terus bersuara, bukan demi politik, tetapi demi rakyat yang lapar di rumah sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast