KUALA LUMPUR – Persatuan Pemandu E-Hailing Wilayah Utara (NeHDA) merayu kerajaan mempertimbangkan semula syarat kelayakan minimum 3,000 kilometer (km) tempahan dalam sebulan sebagai prasyarat bagi tambahan 300 liter petrol bersubsidi kepada pemandu e-hailing.
NeHDA dalam satu kenyataan hari ini berkata, berdasarkan maklum balas daripada ramai pemandu, terdapat pelbagai keadaan luar kawalan dan alasan munasabah yang menyebabkan mereka tidak dapat mencapai jarak 3,000 km tersebut.
Antaranya, tambahnya, pemandu e-hailing yang terpaksa bercuti atas urusan keluarga atau peribadi; menunaikan ibadah umrah serta pemandu mengalami masalah kesihatan dan tidak dapat bekerja buat sementara waktu.
Selain itu, ujarnya, terdapat juga pemandu yang berdepan kesulitan seperti anak atau ahli keluarga sakit dan memerlukan penjagaan rapi; isteri bersalin dan pemandu perlu mengambil cuti bagi membantu urusan keluarga dan kenderaan rosak atau terlibat dalam kemalangan menyebabkan tempoh pembaikan yang panjang.
Jelasnya, ada juga pemandu yang berdepan isu teknikal aplikasi e-hailing seperti akaun digantung sementara atau sistem tidak aktif.
Dalam masa sama, tambahnya, pemandu di kawasan luar bandar terutama di Pantai Timur; Perlis, dan hujung Kedah turut berdepan permintaan penumpang yang rendah, menjadikan amat sukar untuk mencapai sasaran 3,000 km walaupun beroperasi secara konsisten dan aktif.
“Faktor-faktor ini menyebabkan ramai pemandu yang masih aktif dan berdaftar secara sah tidak dapat menepati syarat tersebut walaupun mereka bergantung sepenuhnya kepada pendapatan e-hailing untuk menyara keluarga.
“Kami berpandangan bahawa mereka ini masih layak dikategorikan sebagai pemandu aktif, dan sewajarnya diberi pertimbangan khas agar tidak tercicir daripada manfaat bantuan tambahan petrol ini,” katanya.

Bermula pada 15 Oktober lalu, pemandu e-hailing sepenuh masa mula menerima tambahan 300 liter subsidi petrol menjadikan keseluruhan yang diterima mereka menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) sebanyak 600 liter sebulan.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, keementerian itu telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan mendapati lebih 53,900 pemandu e-hailing menerima kenaikan siling petrol bersubsidi tersebut.
Dalam pada itu, NeHDA mencadangkan supaya MOF dan APAD menilai semula syarat minimum 3,000 km itu dengan mengambil kira pengecualian khas atas faktor luar kawalan.
Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu perlu menyediakan kategori kelayakan fleksibel bagi pemandu yang mencatat antara 1,500 – 2,999 km dan mengambil kira faktor geografi dan tahap permintaan luar bandar dalam penilaian.
Tambahnya, kerajaan juga perlu menubuhkan saluran rayuan rasmi bagi pemandu yang mempunyai alasan munasabah untuk dipertimbangkan semula secara individu.
“Kami amat menghargai usaha kerajaan dalam memastikan subsidi petrol diagihkan secara adil dan bersasar.
“Kami percaya sedikit kelonggaran terhadap syarat 3,000 km ini akan memberi keadilan dan manfaat kepada lebih ramai pemandu e-hailing yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















