JOHOR BAHRU – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sanathana Dharma Sai Nilayam (SDSN) berkongsi kegembiraan dan kemeriahan Deepavali dengan pelbagai kaum dengan menganjurkan satu majlis di Ulu Tiram di sini hari ini.
Kira-kira 500 tetamu pelbagai kaum dan agama hadir memeriahkan majlis yang diisi dengan acara kebudayaan, nyanyian, doa kesejahteraan dan jamuan muhibah.
Sambutan itu bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi simbolik kepada semangat Malaysia Madani yang meraikan kepelbagaian.
Bagi M Kandapan, 65, berkata, Deepavali di SDSN membawa makna yang lebih mendalam kerana diraikan bersama-sama masyarakat berbilang kaum.
“Deepavali bukan hanya perayaan untuk orang India, tetapi lambang cahaya yang menyatukan hati kita semua,” katanya.
Pandangan itu turut dikongsi Thillen Nathan, 55, yang menganggap penganjuran di SDSN sebagai contoh terbaik semangat perpaduan.
“Apabila semua bangsa duduk bersama, kita belajar menghargai perbezaan dan menikmati persamaan,” ujarnya.
Sementara itu, Bhagyashri Nanthakumar 18, berkata, pengalaman meraikan Deepavali dalam suasana harmoni ini memberi inspirasi kepada generasi muda.
“Saya rasa gembira melihat semua orang datang dengan senyuman, meraikan cahaya dan kasih sayang,” katanya.
Sambutan yang berlangsung penuh mesra itu diserikan dengan persembahan tarian klasik India, nyanyian lagu perpaduan, dan hidangan vegetarian yang disediakan oleh sukarelawan SDSN.
Inisiatif SDSN di Ulu Tiram ini bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi satu usaha murni memperkukuh semangat kekeluargaan rakyat Malaysia, menjadikan cahaya Deepavali bukan hanya menerangi rumah, tetapi juga hati setiap insan.- MalaysiaGazette
















