Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat

JOHOR BAHRU – Seorang pesara kerajaan berputih mata selepas RM308,000 lesap diperdaya scammer yang menyamar anggota polis mendakwanya terlibat pengubahan wang haram dan membiaya pengganas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semuanya bermula selepas lelaki tempatan berusia 69 tahun itu menerima panggilan telefon pukul 11 pagi pada 3 Jun lalu.

“Semasa berada di rumahnya di Kampung Melayu Majidee di sini suspek memperkenalkan diri sebagai Sarjan Zuraidi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan menyatakan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas.

“Mangsa kemudian dihubungi pula pihak dari pejabat mahkamah dan mengarahkan mangsa membuat pembayaran sekiranya tidak mahu dipenjarakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Disebabkan takut, mangsa membuat 44 transaksi berjumlah RM308,000 ke dalam empat akaun bank tempatan dari 30 Jun hingga 9 Oktober lalu.

Beliau memberitahu, selepas pembayaran dibuat, mangsa masih lagi diarahkan untuk membuat pemindahan wang namun tidak melakukannya kerana mangsa curiga dan percaya dirinya telah ditipu.

Warga emas tersebut kemudian membuat laporan di IPD Johor Bahru Selatan di sini kelmarin.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan menangkap suspek yang terlibat,” ujarnya.

Pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan phone scam melalui panggilan telefon yang menggunakan penyamaran sebagai pegawai bank atau anggota polis.

“Sebarang keraguan boleh dirujuk terlebih dahulu kepada pihak polis atau melalui portal Semak Mule polis untuk mengesahkan nombor akaun atau nombor telefon yang digunakan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast