Sebuah kereta rentung dan mengorbankan seorang lelaki dan seorang wanita rentung dalam kawasan kebun kepala sawit di Jalan Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki dan seorang wanita rentung selepas kereta dinaiki melanggar pokok dan terbakar dalam kawasan kebun kepala sawit di Jalan Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Faizal Ahmad berkata, kedua-duanya dipercayai terperangkap dalam kereta Toyota Vios tersebut.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 4.48 pagi sebelum lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati kereta tersebut terbabas dan melanggar sebatang pokok lalu terbakar. Terdapat dua mangsa dalam kereta tersebut.

“Seorang mangsa adalah lelaki dewasa berusia 21 tahun manakala seorang lagi wanita dewasa yang belum diketahui identitinya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa terperangkap dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kebakaran tersebut.

Katanya, kereta berkenaan terbakar 93 peratus dan pihak bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan pam air dari jentera bomba.

Menurut Faizal, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pukul 6.11 pagi – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast