Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2025.

PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh rakan sekolah beliau dipercayai dengan menikamnya di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, minggu lalu.

Suspek yang juga pelajar Tingkatan Satu (kelas peralihan) dikawal ketat pihak polis tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira jam 8.30 pagi.

Remaja berusia 14 tahun itu dibawa menaiki kenderaan polis sebelum diiringi beberapa anggota polis melalui laluan khas menuju ke kamar mahkamah.

Insiden menggemparkan negara yang mendapat liputan meluas media menyaksikan petugas media menunggu seawal jam 6.30 pagi ini, namun mereka hanya dibenarkan berada di luar kawasan mahkamah.

Prosiding bermula kira-kira jam 10 pagi dan dilakukan secara tertutup mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 bagi melindungi identiti tertuduh dan mangsa.

Tertuduh berpakaian lokap berwarna oren dan hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.

Difahamkan kedua ibu bapa remaja lelaki itu hadir pada prosiding tertutup pagi ini.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas perempuan sekolah itu antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Namun, bagi pesalah bawah umur, hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah penjara tidak melebihi 30 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili oleh peguam Anwar Ezzad Zainal.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Usaha media untuk merakam tertuduh tidak berhasil apabila pelajar berkenaan dibawa keluar melalui laluan khas dengan pengawasan ketat anggota polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast