Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa pihak berkuasa menyiasat segera Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr. Ahmad Marzuk Shaary susulan kenyataan yang mengaitkan situasi Palestin dengan Malaysia.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil mendakwa, kenyataan itu amat berbahaya kerana menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) serta boleh mengancam ketenteraman awam yang melanggari Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah beliau, kenyataan itu juga dilihat satu bentuk hasutan yang boleh mengundang salah faham dalam kalangan umat Islam dan boleh menyemarakkan api perkauman serta konflik agama dan kaum di negara ini.

“Semangat rakyat Malaysia yang benci kepada perbuatan genosid zionis Israel boleh meningkatkan suhu permusuhan di kalangan umat Islam terhadap bukan Islam dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Ahmad Marzuk menerusi hantaran di Facebook bertajuk ‘Belajar daripada sejarah Palestin: Jangan kita ulangi kesilapan yang sama’ telah menyeru umat Islam supaya mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Dalam hantaran itu, Ahmad Marzuk mendakwa rakyat Palestin menerima pendatang Yahudi atas dasar kemanusiaan, namun akhirnya menjadi mangsa kezaliman dan diusir keluar dari tanah air mereka sendiri.

Ahmad Marzuk turut mendakwa tanda-tanda perkara sama kini dapat dilihat di tanah air apabila bidang ekonomi semakin dikuasai oleh bukan Islam dan bukan bumiputera termasuk penguasaan terhadap gedung besar, syarikat utama serta tanah strategik.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, sejarah negara ini mencatatkan bahawa kaum bukan Melayu menjadi warganegara Malaysia tanpa perang dan tiada mana-mana orang Melayu diusir.

Malah, ujar beliau, orang Melayu kekal menjadi kaum terbesar di Malaysia dan menerajui kepimpinan utama negara dan kerajaan.

Sejak merdeka sehingga kini juga, tambahnya, Perdana Menteri adalah orang Melayu dan tidak pernah dilantik dari kaum lain, manakala ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong juga adalah seorang Melayu.

“Adakah Marzuk tidak memahami struktur asas pentadbiran negara yang dipayungi institusi Di Raja Melayu yang menjadi ketua negara dan negeri-negeri mentadbir seluruh rakyat termasuk Melayu dan bukan Melayu?” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, kenyataan Ahmad Marzuk yang meletakkan contoh penguasaan ekonomi oleh orang bukan Melayu dilihat menghina orang Melayu yang hari ini berkemampuan memiliki syarikat-syarikat besar dan perniagaan utama dakam sektor pertanian dan pembinaan.

Ia ujarnya, menunjukkan kenyataan yang menyamakan keadaan Palestin dengan Malaysia langsung tidak berasas.

“Inilah sikap “double standard” PAS yang hanya pandai menunggang agama tanpa ada sikap tanggungjawab terhadap perpaduan dan keamanan dalam negara.

“Sikap PAS ini jauh daripada ajaran Nabi Muhammad SAW yang membina perpaduan dan keamanan di kalangan umat Islam dan orang bukan Islam di Madinah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast