KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan mendesak pihak berkuasa memperketatkan pemeriksaan ke atas kenderaan berat susulan kemalangan lori pasir yang terbabas di simpang tiga Bukit Cherakah, pagi semalam.

Harrison berkata, insiden yang dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem brek itu sekali lagi menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penyelenggaraan kenderaan berat di negara ini.

“Saya amat kesal dan marah dengan kejadian kemalangan lori pasir yang terbabas di simpang tiga Bukit Cherakah pagi tadi, yang dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem brek.

“Insiden seperti ini bukan perkara kecil dan tidak boleh dianggap remeh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, empat individu dilaporkan cedera dalam insiden kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Meru Tambahan, Kampung Bukit Cerakah.

Kemalangan itu melibatkan sebuah lori tanah, lori sampah dan dua kereta jenis Perodua Myvi.

Menurut beliau, setiap kali kemalangan seperti itu berlaku, ia bukan sahaja mengancam keselamatan pemandu, malah turut meletakkan nyawa penduduk serta pengguna jalan raya lain dalam bahaya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom memperketatkan tempoh pemeriksaan berkala bagi semua kenderaan berat supaya sebarang isu teknikal dapat dikesan lebih awal.

“Tempoh pemeriksaan yang kini dijalankan setiap enam bulan sekali perlu dipendekkan kepada setiap tiga bulan sekali, supaya sebarang isu teknikal seperti kegagalan brek, tayar haus, atau masalah mekanikal lain dapat dikesan dan diatasi lebih awal sebelum tragedi berlaku,” katanya.

Beliau berkata, syarikat lori dan pemilik kenderaan harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu serta memastikan semua kenderaan di bawah pengurusan mereka diselenggara dengan baik.

“Kita tidak boleh menunggu lebih ramai menjadi mangsa sebelum bertindak. Keselamatan rakyat mesti diletakkan di tempat tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Harrison turut menyeru pihak berkuasa tempatan mempertingkatkan pemantauan di kawasan yang sering menjadi laluan lori berat termasuk Bukit Cherakah dan kawasan sekitarnya bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

“Nyawa rakyat bukan angka statistik. Ia adalah amanah yang perlu dipelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast