PUTRAJAYA – Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih belum dimuktamadkan.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses perbincangan itu masih berjalan walaupun rundingan antara PH dan Barisan Nasional (BN) telah selesai.
“Saya boleh sahkan bahawa rundingan kerusi antara PH dan BN sudah selesai.
“Manakala rundingan PH dengan GRS kini berada di peringkat akhir. Saya akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Sains Dadah Kebangsaan 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, rundingan terakhir antara PH dan GRS diadakan minggu lalu di Kota Kinabalu.
“Minggu lepas saya berada di KK untuk mengadakan rundingan itu. Biasalah, rundingan tidak berakhir dengan satu pusingan.
“Apabila ia selesai nanti, saya akan memaklumkannya kepada rakan-rakan media,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa pembahagian kerusi antara BN dan PH bagi PRN Sabah telah dimuktamadkan bagi mengelak sebarang pertembungan antara kedua-dua gabungan tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 29 November sebagai hari pengundian PRN Sabah ke-17, dengan penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November. — MalaysiaGazette
















